Kemboja, Kampuchea atau Cambodia telah dikuasai oleh Regim Khmer Rouge bermula daripada tahun 1975 sehingga 1979 ( lebih kurang 4 tahun). Sebelum Pol Pot menguasai tampok pemerintahan Kemboja, dianggarkan jumlah penganut Islam seramai 700,000 orang. Kebanyakan mereka adalah keturunan Melayu Champa. Tetapi jumlah tersebut menjunam turun selepas kejatuhan kuasa Pol Pot, iaitu seramai 200,000 orang sahaja. Ini bermakna seramai 500,000 (setengah juta) penganut Islam di bunuh atau menjadi pelarian di zaman kegilaan Pol Pot.
Sejarah pembunuhan beramai-ramai penduduk kemboja ( termasuk penduduk Islam) di zaman Pol Pot telah menukar landskap kemboja secara keseluruhan. Penduduk Kemboja bukan sahaja merasai penderitaan dan kesakitan di zaman Regim itu berkuasa, bahkan kesan daripada kekejaman dan perang telah meninggalkan trauma jiwa dan kehidupan yang jauh ketinggalan hingga saat ini.
Kita seharusnya turut rasa terpanggil untuk menghulurkan apa jua bantuan, khususnya kepada saudara kita seagama dan seaqidah. Penderitaan mereka adalah penderitaan kita. Islam akan kembali bertapak dan bersinar di Bumi yang berlinangan air mata kesedihan itu. Siapa tahu anak-anak yang berkaki ayam dan tidak berbaju itu suatu hari akan muncul sebagai pejuang agama Allah di Kemboja.
Kegawatan berpanjangan yang berlaku di Kemboja menyebabkan berlakunya jurang kehidupan yang sangat besar. Yang kaya terus membina kekayaan, mengumpul harta dan menjulang pangkat. Yang miskin teramat miskin, dhaif dan terpinggir.
Ada sekolah agama yang masih berwajah 'Sekolah Dewasa' Pendekar Bujang Lapuk. Berlatar belakangkan bangunan usang, bangku dan meja panjang yang dikongsi oleh beberapa orang pelajar. Ada juga sekolah agama yang memiliki bangunan besar dan gah mata memandang. Ia dibina oleh hartawan dan institusi tertentu dari negara-negara Arab. Namun apabila isu 'pengganas' dipopularkan oleh kuasa dunia, maka bantuan seterusnya untuk menguruskan sekolah-sekolah berkenaan tergendala.
Umat Islam yang hidup dalam kelompok-kelompok yang pelbagai keadaannya. Usaha menyatukan mereka perlu dilakukan. Jika dibiarkan umat Islam hidup berpecah belah maka tidak mustahil nasib malang di zaman Pol Pot akan berulang.
Marilah sama-sama membantu.
No comments:
Post a Comment