Amalan menyembelih binatang korban merupakan satu ibadah sunat yang dikerjakan pada setiap hari Raya 'Idul Adha atau lebih dikenali dengan Hari Raya Korban iaitu pada 10,11 12 dan 13 Zulhijjah.
Binatang-binatang korban itu pula terdiri daripada unta, lembu, kerbau atau kambing. Ibadat ini menjadi bukti keikhlasan dan kesetiaan serta ketaatan hamba kepada Allah.
Ibadat ini sunat dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji dan juga orang yang tidak mengerjakannya tanpa mengira usia dan jantina. Bahkan, orang yang hidup boleh melakukannya untuk orang yang telah meninggal dunia.
Terdapat banyak fadhilat dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang melakukan ibadah korban.
Korban bukan bererti mempersembahkan daging dan darah binatang. Tetapi mempersembahkan ketaatan dan kesetiaan kepada Allah. Samalah halnya dengan solat menghadap qiblat. Bukan bererti kita menyembah kaabah. Kita menghadap ke arah kaabah sebagai satu pelaksanaan keaatan kepada perintah Allah yang menyuruh kita menghadap ke arahnya.
Dengan berkorban kita mendapat tempat yang mulia di sisi Allah, sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam sabdanya bermaksud:
"Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya. Sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia disisi Allah 'Azza wajalla."
(Hadis riwayat Thabarani)
Berkorban juga boleh menebus dosa-dosa kita iaitu dengan setiap titisan darahnya , sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah bermaksud :
"Hai Fatimah berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atau dosa-dosamu."
(Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
Binatang -binatang yang dikorbankan tersebut akan menjadi tunggangan atas titian (sirat) pada Hari Kiamat, sepertimana dipetik daripada kitab Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
"Perbesarkanlah oleh kamu akan sekalian korban kamu kerana bahawasanya ia jadi tunggangan kamu atas titian pada Hari Kiamat."
Bulu binatang yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan sebagaimana menurut sebuah hadis bermaksud :
"Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan."
(Hadis riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Hadith-hadith di atas secara terus terang menggambarkan bahawa keseluruhan amalan atau pekerjaan yang berhubung-kait dengan ibadah korban itu, mempunyai kelebihan yang sangat besar kepada orang yang melakukan ibadah korban itu. Bermula daripada perbuatan menyembelih, menyaksikan penyembelihan, darah, bulu, dan memperbesarkannya semuanya akan mendapat ganjaran daripada Allah.